Tuesday, 22 February 2011

MEMPERKASA BANGSA TOMBONUO

PITAS: Presiden Persatuan Bangsa Tombonuo Pitas Sabah (PBTPS), Dr. Ahkin Ayu berkata usaha memperkasa masyarakat Tombonuo bukan satu impian kosong jika masyarakat itu memainkan peranan secara berterusan.


Beliau berkata walaupun sebelum ini masyarakat Tombonuo begitu kurang dikenali serta dirasai kewujudannya di negeri ini, namun kerana semangat yang tinggi di kalangan Ahli Majlis Tertinggi persatuan itu kini Tombonuo mula dikenali bukan sahaja di negeri Sabah malah di seluruh negara.


“Soalnya sekarang kaum ini tidak mahu lagi tersisih daripada arus pembangunan yang sedang bergerak pantas di sekeliling mereka.


“Perubahan minda dan sikap cetusan semangat daripada Ahli Majlis Tertinggi persatuan serta ahlinya menyaksikan kini masyarakat Tombonuo sudah bergerak ke arah memperkasa suku bangsa ini setanding bangsa lain,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang di Kampung Kanibongan dekat sini.


Majlis yang dihadiri lebih 500 orang itu dianjurkan Persatuan Bangsa Tombonuo Pitas Sabah cawangan Kampung Kanibongan, Pitas.


Dr. Ahkin yang juga Ahli Umno Cawangan Kampung Rosob Tongkowit turut berkata, sebagaimana kaum lain, masyarakat Tombonuo bukan sahaja yang berada di Pitas malah diseluruh negeri ini tidak mempunyai pilihan selain mereka perlu bersatu untuk membolehkan masyarakat itu maju.


Katanya, masa depan generasi Tombonuo dan martabat kaum itu terletak pada diri mereka sendiri.


“Tidak ada sesiapapun yang akan tampil untuk mengubah nasib bangsa Tombonuo melainkan kaum itu sendiri.


“Justeru itu, keadaan inilah yang perlu difikirkan oleh kaum ini kalau mereka mahu berjaya serta tidak ketinggalan ke belakang,” katanya. 
Naib Presiden I Persatuan Bangsa Tombonuo Pitas Sabah, Yahya Saidal (kanan) menyampaikan selendang kepada Dr. Ahkin (kiri) sebagai tanda penghargaan pada majlis itu.
 

1 Comment:

PBTPS said...

Testing.......

Post a Comment